Monday 30 December 2013

MENDUGA PATIN DI TASIK BIRU


Sekadar hiasan

Pernah suatu ketika Dr. Mahmud call: " Ustaz, hujung minggu ni sibuk ke? Dah menggigil tangan ni. Kalau free jom la mancing...". "Ok Doc. Saya free. Dah lama tak ke Kolam Tasik Biru ni. Sabtu jam 7.00 pagi saya ambil Doc kat rumah," jawabku bersemangat.

Seperti biasa, habis sahaja subuh di Surau Al-Firdaus, aku terus bersiap untuk 'appointment' dengan Dr. Mahmud. Segala kelengkapan menduga raja kolam dipastikan tersedia. Kereta dipandu laju ke rumah Dr. Mahmud yang memang terkenal dengan 'punctual man'.Seperti diduga, Dr. Mahmud sudah sedia menanti. Siap dengan kelengkapan bertarung.

Sesampai di lokasi, kami terus 'cop' lubuk. Udara tasik yang segar ditambah dengan kedinginan pagi memang mendamaikan. Terasa begitu nikmat ketenangan yang dianugerahkan Ilahi. Sesekali terfikir juga nasib saudara di Palestin. Hidup penuh dengan debaran. Tiada ketenangan. Tiada langsung ruang untuk melayan hobi sebegini. Terkadang terasa berdosa pula bila kita bergembira tetapi lupa nasib mereka di sana. Ya Robb. Lindungilah mereka. Amin...

Dr. Mahmud sudah melabuhkan joran. Sekejap sahaja satu rentapan kuat lalu dikarau dengan sabar. Tertewasnya pacu sekira-kira satu kilo. Wah! Darah terus membara. Ikan di sini begitu rakus membaham umpan.




Seekor demi seekor didaratkan. Silih berganti sifatnya. Sekejap pacu sekejap patin. Sesekali joran 'katak' sahabat-sahabat lain yang memburu rohu berderap memecah kesunyian. Tidak kurang besarnya rohu-rohu yang didaratkan mereka.

Paling teruja apabila tidak semena-mena joran Lemax aku melentur. Wah, patin besar! Begitu 'brutal' dalam bertarung. Tiba-tiba semacam terdetik bimbang akan terputus. "InsyaAllah tidak," bisik hati cuba meyakinkan kebimbangan. 

Tub! Terlepas. Fuh.....Innalillah.... Memang detik hati menjadi realiti. Patin bagak berundur diri. Berenang bebas. Hati yang bekobar-kobar tadi sedikit-sedikit menjadi tenang. Pasrah. Inilah yang dinamakan rezeki. Sifatnya kena terus berusaha. Sebab Allah Maha Pemurah. InsyaAllah lain kali ada rezeki asalkan ada usaha.

Di sebelah hujung kolam seekor patin 8 kg didaratkan. Seorang pak cik tua tersenyum lebar. Puas. Kepuasannya berjaya mengubat hati ini yang frust tadi. "Pak cik, kepuasan mu adalah kepuasan ku", bangga hati memecah terik mentari.


Kami akan datang lagi.


MEMANCING BERSAMA TUAN GURU



Kunjungan ke Darussyifa pada suatu malam untuk menadah ilmu dengan TGHD memang langkah kanan. Selesai solat Isya' berjemaah, lantas bingkas seorang AJK Memancing Bersama TGHD lalu mencapai microphone: " Sesiapa yang berminat memancing bersama TGHD sila buat pendaftaran di office".

"Wah, rupa-rupanya TGHD kaki pancing! Patutlah pada seri wajahnya sentiasa tampak tenang. Nur kesabaran juga sentiasa terpancar. Sifat sabar ini memang ada pada diri pemancing", bisik hati takjub.

Selesai kuliah, aku terus bergegas ke office yang dimaksudkan lantas nama didaftarkan. MasyaAllah....ramai juga orang-orang kanan TGHD ni kaki pancing! 
"Mungkin ini juga senjata melatih kesabaran dalam mengubati pesakit yang kena gangguan,", bisik hati lagi sambil membanggakan diri yang sealiran hobi.

23 September 2013; detik bersejarah apabila berpeluang melayan hobi memancing bersama TGHD. Tuan Guru memang tenang. Sifat sabarnya dalam melayan kerenah sambaran siakap menyirap ke sanubari. Larian siakap yang ganas dilayannya dengan penuh ketenangan umpama layanannya ketika merawat pesakit terkena gangguan. Seekor demi seekor siakap didaratkannya. "Hairan. Umpan sama. Kolam sama. Tapi mengapa siakap tidak mesra dengan umpanku?" Lantas terus hati memujuk diri. "Bukan maqamnya lagi. Kalau dah sampai maqam, apa jenis ikan pun akan meraikan umpan yang dihidang. Tidak hairanlah siakap begitu mesra dengan TGHD."

Selesai memancing, sempat bertanya Tuan Guru: " Ustaz, berapa ekor naik?". "Tak berapa pasti, adalah berbelas ekor", sapanya merendah diri sambil melirikan senyuman. "Wah, berbelas ekor? Aku hanya dua ekor", bentak hati takjub.

Suatu malam, dek kerana desakan anak-anak muridnya, TGHD pun menurunkan petua memancing. 
"Baca ayat ini: (..........). InsyaAllah rezeki kita dimurahkan Allah," jawabnya sambil tersenyum lucu melihatkan bergitu bersungguh anak-anak muridnya meminta petua.

Pada suatu hari, aku mencuba! Aku bacakan ayat yang sebenarnya sudah lama aku hafal; semenjak dari sekolah agama lagi. Ajaibnya, rakan sebelah asyik mangarau ikan, aku kampau! "Maqam aku belum sampai....betulkan niat, bersabarlah.........." rajuk diri berjaya dipujuk oleh hati. Lantas dalam memikirkan nasib diri, aku mendapat pengajaran dari pencerahan TGHD. Sebenarnya memancing memang menguji kesabaran. Dalam keasyikan menunggu sentapan, alunkanlah ayat-ayat Allah. InsyaAllah ada keberkatan. Kan kalau baca Al-Quraan setiap satu huruf akan digandakan dengan 10 kali kebajikan? Rezeki milik Allah. Dia memberi kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.


Diri semakin kuat untuk menjoran! 



Sunday 29 December 2013

Ahlan Wasahlan wa Marhaban bikum....

Assalamualaikum wbt;


Sahabat-sahabat,

Selamat datang ke Usrah Joran; satu blog yang diwujudkan sebagai medan berkongsi hobi sambil ber usrah mencari keredhaan Ilahi.