Monday, 30 December 2013

MEMANCING BERSAMA TUAN GURU



Kunjungan ke Darussyifa pada suatu malam untuk menadah ilmu dengan TGHD memang langkah kanan. Selesai solat Isya' berjemaah, lantas bingkas seorang AJK Memancing Bersama TGHD lalu mencapai microphone: " Sesiapa yang berminat memancing bersama TGHD sila buat pendaftaran di office".

"Wah, rupa-rupanya TGHD kaki pancing! Patutlah pada seri wajahnya sentiasa tampak tenang. Nur kesabaran juga sentiasa terpancar. Sifat sabar ini memang ada pada diri pemancing", bisik hati takjub.

Selesai kuliah, aku terus bergegas ke office yang dimaksudkan lantas nama didaftarkan. MasyaAllah....ramai juga orang-orang kanan TGHD ni kaki pancing! 
"Mungkin ini juga senjata melatih kesabaran dalam mengubati pesakit yang kena gangguan,", bisik hati lagi sambil membanggakan diri yang sealiran hobi.

23 September 2013; detik bersejarah apabila berpeluang melayan hobi memancing bersama TGHD. Tuan Guru memang tenang. Sifat sabarnya dalam melayan kerenah sambaran siakap menyirap ke sanubari. Larian siakap yang ganas dilayannya dengan penuh ketenangan umpama layanannya ketika merawat pesakit terkena gangguan. Seekor demi seekor siakap didaratkannya. "Hairan. Umpan sama. Kolam sama. Tapi mengapa siakap tidak mesra dengan umpanku?" Lantas terus hati memujuk diri. "Bukan maqamnya lagi. Kalau dah sampai maqam, apa jenis ikan pun akan meraikan umpan yang dihidang. Tidak hairanlah siakap begitu mesra dengan TGHD."

Selesai memancing, sempat bertanya Tuan Guru: " Ustaz, berapa ekor naik?". "Tak berapa pasti, adalah berbelas ekor", sapanya merendah diri sambil melirikan senyuman. "Wah, berbelas ekor? Aku hanya dua ekor", bentak hati takjub.

Suatu malam, dek kerana desakan anak-anak muridnya, TGHD pun menurunkan petua memancing. 
"Baca ayat ini: (..........). InsyaAllah rezeki kita dimurahkan Allah," jawabnya sambil tersenyum lucu melihatkan bergitu bersungguh anak-anak muridnya meminta petua.

Pada suatu hari, aku mencuba! Aku bacakan ayat yang sebenarnya sudah lama aku hafal; semenjak dari sekolah agama lagi. Ajaibnya, rakan sebelah asyik mangarau ikan, aku kampau! "Maqam aku belum sampai....betulkan niat, bersabarlah.........." rajuk diri berjaya dipujuk oleh hati. Lantas dalam memikirkan nasib diri, aku mendapat pengajaran dari pencerahan TGHD. Sebenarnya memancing memang menguji kesabaran. Dalam keasyikan menunggu sentapan, alunkanlah ayat-ayat Allah. InsyaAllah ada keberkatan. Kan kalau baca Al-Quraan setiap satu huruf akan digandakan dengan 10 kali kebajikan? Rezeki milik Allah. Dia memberi kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.


Diri semakin kuat untuk menjoran! 



No comments:

Post a Comment