Pernah suatu ketika Dr. Mahmud call: " Ustaz, hujung minggu ni sibuk ke? Dah menggigil tangan ni. Kalau free jom la mancing...". "Ok Doc. Saya free. Dah lama tak ke Kolam Tasik Biru ni. Sabtu jam 7.00 pagi saya ambil Doc kat rumah," jawabku bersemangat.
Seperti biasa, habis sahaja subuh di Surau Al-Firdaus, aku terus bersiap untuk 'appointment' dengan Dr. Mahmud. Segala kelengkapan menduga raja kolam dipastikan tersedia. Kereta dipandu laju ke rumah Dr. Mahmud yang memang terkenal dengan 'punctual man'.Seperti diduga, Dr. Mahmud sudah sedia menanti. Siap dengan kelengkapan bertarung.
Sesampai di lokasi, kami terus 'cop' lubuk. Udara tasik yang segar ditambah dengan kedinginan pagi memang mendamaikan. Terasa begitu nikmat ketenangan yang dianugerahkan Ilahi. Sesekali terfikir juga nasib saudara di Palestin. Hidup penuh dengan debaran. Tiada ketenangan. Tiada langsung ruang untuk melayan hobi sebegini. Terkadang terasa berdosa pula bila kita bergembira tetapi lupa nasib mereka di sana. Ya Robb. Lindungilah mereka. Amin...
Dr. Mahmud sudah melabuhkan joran. Sekejap sahaja satu rentapan kuat lalu dikarau dengan sabar. Tertewasnya pacu sekira-kira satu kilo. Wah! Darah terus membara. Ikan di sini begitu rakus membaham umpan.
Seekor demi seekor didaratkan. Silih berganti sifatnya. Sekejap pacu sekejap patin. Sesekali joran 'katak' sahabat-sahabat lain yang memburu rohu berderap memecah kesunyian. Tidak kurang besarnya rohu-rohu yang didaratkan mereka.
Paling teruja apabila tidak semena-mena joran Lemax aku melentur. Wah, patin besar! Begitu 'brutal' dalam bertarung. Tiba-tiba semacam terdetik bimbang akan terputus. "InsyaAllah tidak," bisik hati cuba meyakinkan kebimbangan.
Tub! Terlepas. Fuh.....Innalillah.... Memang detik hati menjadi realiti. Patin bagak berundur diri. Berenang bebas. Hati yang bekobar-kobar tadi sedikit-sedikit menjadi tenang. Pasrah. Inilah yang dinamakan rezeki. Sifatnya kena terus berusaha. Sebab Allah Maha Pemurah. InsyaAllah lain kali ada rezeki asalkan ada usaha.
Di sebelah hujung kolam seekor patin 8 kg didaratkan. Seorang pak cik tua tersenyum lebar. Puas. Kepuasannya berjaya mengubat hati ini yang frust tadi. "Pak cik, kepuasan mu adalah kepuasan ku", bangga hati memecah terik mentari.
Kami akan datang lagi.