Wednesday, 1 January 2014

MENGIDAM GULAI 'EXOTIC' KELAH MASAK SAMBAL PIJAT

Lata Lepan Bola yang begitu mendamaikan. Airnya yang jernih
memang sesuai untuk 'Sang Raja Sungai'

Kunjungan ke Lata Lepan Bola bersama famili memang tidak mengecewakan. Di situlah terletaknya kolam memelihara 'Raja Sungai' kelah. Tiga buah kolam perntenakan kelah dengan menggunakan air jeram iaitu air habitat asal kelah menjadikan pembiakannya amat sukses. Spesis kelah merah yang purata seberat satu kilogram setiap seekor memang mengiurkan penggemar kelah. Namun ianya bukan untuk di makan! Ianya dieksport memandangkan harganya boleh mencecah ratusan ringgit setiap sekilogram!

Abe Mat; nama manja pemilik kolam memang pemurah. Melihatkan kami anak-beranak datang bertandang ke rumahnya  ala Melayu tradisional Pahang yang dibina betul-betul di tepi jeram, beliau mempelawa kami menjaring kelah untuk hidangan tengahari. Subhanallah......Syukrulillah....Pucuk dicita ulam mendatang! Kurniaan Allah memang terkadangnya tidak diduga.

Sekali tarik sahaja sudah hampir sepuluh ekor 'raja sungai' bersisik merah tewas di jaring. "Nak lagi ke?," tanya Abe Mat ikhlas. "Cukup Abe Mat, ni banyak sangat dah ni. Nanti tak habis," balasku malu-malu kucing. Mana tidaknya, ikan ini susah nak dapat. Disebabkan harganya mahal aku membenteng kehendakku. Biarlah Abe Mat jual yang lain-lain tu. Lagipun aku memang tahu. Ikan ini memang susah nak bela. Tak ramai usahawan bumiputera berjaya menternak ikan kelah ini.

Kelah yang siap disiang sedia untuk dimasak

 "Bawa balik ikan ni. Masak gulai sambal pijat pun sedap," Abe Mat melontarkan cadangan. Wah, hampir meleleh air liur mendengarkan resepi yang disebutkan Abe Mat tadi! Sudah lama tidak menjamah resepi turun temurun tersebut.


Kelah masak sambal pijat. Hanya air tangan bonda yang
mampu memasak sesedap ini!


Resepi gulai sambal pijat adalah menu masakan tradisional masyarakat Kelantan pedalaman. Ikan yang sudah disiang dimasak bersama cabai burung, asam keping, kunyit dan dicampur dengan isi pokok pijat.


Pokok pijat yang baru dicabut dari habitatnya
 

 Pokok pijat adalah spesis kunyit yang banyak meliar di hutan-hutan tropika negeri Kelantan. Baunya seperti pepijat menyebabkan masyarakat dahulu menamakannya pokok pijat. Pertama kali nak mencuba memang menjengkelkan. Mana tidaknya. Baunya seperti pepijat! Namun setelah mencuba ianya menjadikan anda sentiasa merinduinya. 

Bahagian akar inilah yang ditumbuk separa hancur sebagai ramuan 
utama gulai sambal pijat


Terkadang hidup di kota metropolitan ini amat meresahkan. Sesekali teringat masakan bonda pasti menenangkan. Akan tetapi janganlah balik kampung hanya nak makan. Apa yang penting, betulkan niat, pulang untuk menziarahi ayahanda dan bonda tercinta; yang tidak terhitung jasanya kepada kita. Buatlah yang terbaik sementara mereka masih ada. Tanpa didikan mereka siapalah kita."Sesungguhnya syurga di bawah tapak kaki ibu."

No comments:

Post a Comment