Monday, 6 January 2014

MENJORAN DI KELONG GOLD COAST

Pantai Gold Coast yang mendamaikan 


Penutup Joran 2013: Trip ke Gold Coast Sepang memang meninggalkan kenangan manis bagi setiap pemancing. Panorama yang indah dan udaranya yang nyaman amat mendamaikan. Tidak hairanlah ramai yang merancang untuk trip memancing ke sini.

Seusai Solat Asar berjemaah di surau jeti, kami bergegas memunggah kelengkapan ke dalam bot yang di sewa khas. Segala peralatan memancing dan keperluan selama berkampung di kelong nanti dipastikan mencukupi dan tiada yang tertinggal. 

 Perjalanan dengan bot laju ini mengambil masa sepuluh 
minit untuk sampai ke lokasi




 Dr. Haji Hamidon yang bertekad menjadi pemancing tegar selepas ini.
 Misi pertama memancing setelah menamatkan PhD.


 Perjalanan menaiki bot ke kelong tidaklah jauh sangat. Hanya mengambil masa 10 minit sahaja! Ianya tidaklah memenatkan dan amat sesuai untuk aktiviti memancing sambil bersantai.
 
Kelong yang diperkukuhkan dengan pasak-pasak batang nibong.

 
Sesampai di kelong, sudah ada satu 'group' yang memancing. Mereka telah daratkan talang dan siakap. Mendengarkan hasil tangkapan yang memuaskan, semangat untuk memancing terus berkobar-kobar. Talang memang sentiasa menjadi penghuni tetap di mana-mana kelong pun. Namun kehadiran siakap amat mengujakan!.



Suasana di atas kelong. Pelantarnya yang luas
 memang menyelesakan pemancing
 

Kelong ini tidaklah besar sangat. Namun ianya cukup untuk menampung 30 pemancing pada satu-satu masa. Kelengkapan yang disediakan seperti 6 bilik tidur, dapur memasak, tandas, bekalan air bersih dan 'generator' untuk menghidupkan lampu pada waktu malam sudah memcukupi untuk aktiviti memancing. Solat boleh dilakukan secara berjemaah di dalam bilik masing-masing atau di ruang pelantar yang luas berbumbungkan langit.

Bagi yang jenis perut sensitif, rasanya tandas di sini tidak sesuai untuk 'air besar'. Air bersih yang dibekalkan cukup untuk memasak, berwudhuk dan bersuci hadas kecil. Adapun untuk mandi ataupun hadas besar, maka bukan di sini tempatnya. Tapi kalau 'dhoruroh' sangat bolehlah cuba. Sabun mandi yang kami beli hanya untuk pameran semata-mata.

Pemandangan mengadap Gold Coast


Salah satu ruang bilik daripada enam kesemuanya
 yang terdapat di atas kelong ini


Kami mula labuhkan umpan sekitar jam 5.30 petang. Seperti kebiasaan, tiada ikan bersaiz bagak yang menyambar umpan. Hanya ikan bersaiz 'penghibur' yang aktif meligan umpan. Mata 'apollo'  paling berjaya menghiburkan hati. 'Gruk-gruk' dan gelama paling suka menjamah udang dan sotong yang dihidangkan. Sesekali spesis todak yang pernah menyerang Temasik suatu ketika dahulu didaratkan oleh teman-teman pemancing. Namun yang pasti, suasana petang itu amat mendamaikan! Hati begitu tenang setenang air di lautan.

 Ameer; pemancing yang bakal menjadi al-Hafiz dua tahun lagi


Pancingan siang yang begitu tenang


Ustaz Azis dengan tangkapan ikan eksotiknya


 Sekali pandang macam ikan belacak, tapi ini bukan belacak. 
Mungkin kacukan belacak dengan kerapu


Keunikan ikan eksotik yang berjaya meligan umpan

Bila Maghrib menjelma, kami berhenti seketika untuk mencari keredhaan Allah.Air bersih yang dibekalkan pemilik kelong digunakan sebaik mungkin untuk berwudhuk. Baru sekarang terasa nikmatnya air! Patutlah Islam suruh kita menghargai air. Berjimatlah dengan air walaupun berwudhuk di sungai yang menglir.


Selesai berjemaah Maghrib, wudhuk dijaga rapi. Kami mengambil keputusan menanti Isya baru memulakan pancingan semula.Di kejauhan, berkelip lampu-lampu malam di Gold Coast. Cuaca malam itu sungguh baik. Tiada hujan walau setitik meskipun ini musim tengkujuh. Malam ini memang rezeki kami untuk berteduh di langit Allah yang cerah berbintang. Walaupun tiada bunyi cengkerik seperti di daratan, namun angin bayu malam yang sesekali menghembus membuatkan setiap diri insaf dengan nikmat kedamaian yang dianugerahkan Ilahi. 

 
Sebelum memulakan 'operasi' malam, kami pastikan hak perut diberikan sebaiknya. Bimbang juga nantinya meragam masuk angin tengah-tengah laut ni susah untuk ke daratan. Setelah usai semuanya, kami pakat-pakat labuhkan joran. Nampaknya senangin, siakap, alu-alu, tambak, kerapu bagak dan talang masih gagal melaporkan diri. Yang mesra hanyalah gelama. Keadaan ini membuatkan Dr. Hamidon dan Ameer tidak mampu menongkah kelopak mata yang semakin memberat. Mereka sepakat melabuhkan badan dalam bilik yang tiada beralas tilam. Ustaz Azis pula terliur dengan dengkuran mereka lalu sunnah diikuti. Lenalah mereka bersama bayu malam.

 
Ikan daun baru; pengubat di kesunyian malam


Rupa-rupanya semakin malam semakin mengganas ikan di sini. Seekor ikan daun baru  berjaya dinaikkan. Teman-teman lain juga berjaya dengan tangkapan masing-masing. Namun bila arus berubah arah menandakan air mula pasang, tiada lagi ikan bersaiz bagak menyentuh umpan. Hanya gelama dan bulan sahaja masih setia dengan hidangan umpan yang ditawarkan. 

Arus malam di sini tidaklah sederas seperti ketika memancing di Rumah Api One Fathom Bank (OFB) suatu ketika dahulu. Arus di OFB deras seperti di Jeram Lepan Bola. Batu ladung bersaiz sebesar ibu jari kaki pun belum tentu dapat berlabuh tenang. Mungkin lokasinya di tengah-tengah Selat Melaka bersempadan dengan Indonesia menjadikan lautnya sedikit dalam dan arusnya deras bangat.

Malam semakin menua. Dingin angin laut semakin terasa. Sudah hampir subuh rupanya. Gold Coast hampir bergelap semuanya. Tiada cahaya berkelip galak seperti selepas senja berlabuh semalam. Seluruh Gold Coast seakan lena diulit dingin pagi. Bangunlah Gold Coast! Penuhi masjid-masjid dan surau-surau mu. Mulakan harimu dengan menyembah Allah. Moga keberkatan akan sentiasa memayungimu. Ameen.
   
Selesai solat Subuh, sesi terakhir pancingan dimulakan sebelum berangkat pulang. Pagi itu hanya todak yang memecah rekod kilogram. "Todak pun todak lah!", ujar Ustaz Azis yang aktif mencuba pelbagai teknik pancingan sehingga di gelar Pemburu Todak Dari Labu. 


            Sempat bergambar kenangan sebelum pulang


Tepat jam 10.30 pagi, kami berkemas untuk pulang. Walaupun hasil tangkapan tidaklah seberapa, namun erti ukhuwwah yang dijalin sesama grup 'Usrah Joran' diharap utuh membara. InsyaAllah, Ustaz Azis akan 'arrange' ke Kelong Langkat pula. InsyaAllah.



Alhamdulillah....antara hasil tangkapan untuk kali ini. 





No comments:

Post a Comment