Tuesday 26 May 2015

BELITONG VS SOTONG DI KUALA BESUT

Perairan Pulau Perhentian menjadi target kami mencandat dan menjoran kali ini


KUALA BESUT, 18 Mei 2014: Ahli-ahli usrah sekali lagi berkonvoi ke Kuala Besut dengan misi menjoran belitong dan mencandat sotong. Trip kali ini menggunakan khidmat tekong terspoting Kuala Besut iaitu Abey Senbok.

Perjalanan kami dari Kuala Lumpur bermula jam 9.30 malam. Alhamdulillah kami selamat sampai di Kuala Besut sebelum subuh. Sesudah solat, kami menikmati juadah pagi di kedai makan Abey Senbok sambil berbual mesra merancang aktiviti trip kami kali ini.

 Kami mula bertolak dari jeti jam 11.30 pagi. Perjalanan dengan bot nelayan Abey Senbok mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk sampai di lubuk belitong. Alunan gelora yang agak kuat menyebabkan beberapa ahli usrah sudah menunjukkan tanda-tanda mual yang tidak terhingga.

Membuat persiapan terakhir sebelum sampai di lubuk belitong

 Walaupun kelajuan bot ini tidak setanding bot-bot pancing Kuala Rompin, namun kemudahan di atasnya bertaraf superb. Terdapat tandas yang dibuat khas untuk trip kali ini disamping dapur untuk memasak dan ruang rehat yang selesa untuk berbaring dan solat.

Ruang dapur yang selesa walaupun kecil

Sesampai di lubuk belitong, kami dapat saksikan belitong mula berenang megah mengelilingi bot  mengisyaratkan kami untuk bertarung. Berumpankan anak ikan kembong segar yang diappolokan sebelum itu, satu persatu mata kail tiada berladung di labuhkan. Nah! Satu persatu juga sentapan demi sentapan berlaku. Spesis layaran ini memang ganas. Aksi menari di atas air persis bill fish atau layaran semasa bertarung membuatkan kami begitu teruja. Seekor demi seekor dapat ditewaskan. Tidak kurang juga banyak yang terlepas dek kerana ganasnya pertarungan tersebut! 



Antara belitong yang berjaya didaratkan

Meniti senja, belitong semakin menjauhkan diri. Sementara menunggu masa sesuai untuk mencandat, kami mendahului dengan tanggungjawab hamba terhadap Tuhannya. Solat jamak taqdim Maghrib Isya di atas alunan ombak Laut China Selatan.

Apabila tekong memasang lampu candat, maka kami segera melabuhkan candat masing-masing. Maha Suci Allah. Sotong di sini bersaiz bagak rupanya. Pengalaman ini sungguh menyeronokkan. 

Kesh dengan sotong bersaiz bagak


'Double strike' oleh Yus
 
Hampir semalaman kami mencandat. Dengan arus yang agak deras dan alunan ombak yang agak tinggi, ada dikalangan ahli usrah yang syahid apabila perut turut bergelora sambil diiringi suara meneran yang mengeluarkan segala buah tembikai yang dijamah dalam perjalanan tadi.

Saiz sebegini sangat biasa di sini

Sesungguhnya trip kali ini amat mencabar dan menyeronokkan. Objektif tercapai. Belitong berjaya dijorankan. Sotong berjaya dicandatkan. Alhamdulillah.

Monday 25 May 2015

EBEK MENGGANAS DI KUALA ROMPIN







KUALA ROMPIN, 23 Mei 2015: Seramai 7 orang ahli Usrah Joran telah dihantar untuk merintis jalan bagi menduga lubuk-lubuk di perairan Kuala Rompin Pahang.

Perjalanan dari Kuala Lumpur memakan masa sekitar empat jam. Ahli-ahli usrah berkumpul di Seremban dan bertolak dari Petronas Bukit Putus  sekitar jam 12 tengah malam. Konvoi sampai di Masjid Besar Kuala Rompin sekitar jam 4.30 pagi dan bersiap sedia menunaikan solat subuh berjemaah.

Seusai solat Subuh, mandi dan makan pagi di gerai Kuala Rompin, konvoi terus bertolak ke Jeti Persatuan Memancing Malaysia (PeMM) Kuala Rompin dan di sambut mesra tekong Adik. Setelah mengangkat segala 'senjata' untuk bertarung, maka bermulalah pelayaran kami untuk menjejak lubuk ke lubuk. Menaiki bot berenjin Honda 260 kuasa kuda, samudera Kuala Rompin dibelah dengan laju sekali.




Tiba di lubuk ebek, kami dapati beberapa bot sudah berlabuh. Dapat kami saksikan ebek demi ebek dinaikan. Maka berkobar-kobarlah jiwa kami sebagai isyarat tidak sabar lagi untuk berjihad. Umpan udang hidup dijadikan modal. Satu demi satu joran dilabuhkan oleh ahli usrah. Teknik yang kami gunakan ialah pancingan 'bottom'. Agak cuak juga apabila bot-bot sebelah semuanya menggunakan teknik pancingan 'lite jigging' dan berjaya menaikkan beberapa ekor ebek.Namun kegusaran kami terubat apabila teknik pancingan bottom menampakkan kesan positif. Kekili Kesh berderau menangis disentap ebek. Hampir tiga minit bertarung namun rezeki sudah tercatat. Putus! Nampak begitu hampa pada riak wajah Kesh. Tak apa. Cuba lagi.

Yus dengan tangkapan Ebek pertama seberat 4.5kg

Selang dua minit, kekili Yus pula menjerit kuat. Jorannya melentur liuk. Tak pernah disaksikan begitu hebat penangan tarikan sebegini. Yus mencapai dengan agak gelabah dan mengarau dengan penuh pengharapan. Serentak dengan itu, kekili Napi pula meraung. Wah!!! Ebek sudah menyerang! Lebih kurang lima minit bertarung, akhirnya Yus dan Napi berjaya menaikkan ebek dan terlepaslah sumpahan kumpau pada hari tersebut.

Senyuman manis Napi menggambarkan kepuasannya dengan Ebek 4 kg
Kreeeekkkk!!!! Sekali lagi kekili Kesh merintih agar dikasihani. Kesh terus menggapainya dan berjuang dengan penuh berhati-hati. Larian kali ini sungguh kuat. Tali pada kekili membuak keluar. 'Ahhh...tali dah nak abis!,' teriak Kesh. Sambil ditenangkan oleh tekong dengan tips karauan 'mesra', akhirnya ebek menyerah kalah. Peluh jantan Kesh bercucuran keluar. Suaranya bergetar apabila berbicara. Sekali-sekala tenggelam-timbul nadanya. Mungkin terlalu berdebar. Bimbang tewas kali kedua.

Kesh dengan Ebek terberat iaitu 4.8 kg. hasil cubaan keduanya
Di lubuk pertama sahaja beberapa ekor ebek berjaya dinaikkan. Kami mula berpindah menyusuri lubuk ke lubuk. Beberapa spesis ikan berjaya didaratkan termasuklah bayan dan kerapu selain ebek yang menjadi penghuni setia perairan Kuala Rompin. Asrul, Rozani dan tekong turut tidak ketinggalan merasai larian ebek. Bagi Krull pula, walaupun perambutnya putus dek keganasan ebek sekitar 7 kg membaham umpan, namun kepuasan bertarung tetap terpahat di hati.  Kesimpulannya, trip percubaan kali ini amat osem. InsyaAllah, trip sebenar akan menyusul tahun hadapan. Kuala Rompin: mu tunggu kami datang!

DERETAN KENANGAN

Bergambar sebelum berjihad

Memang 'rare' ketupat palas di atas bot. Persis sambut Aidil fitri di lautan.

Krull dengan gaya tersendiri

Moga mendapat rezeki yang melimpah ruan di trip akan datang, ameen...

Pose istimewa dari Cheif de Mission kali ini

Trip yang mavelessss!