KUALA ROMPIN, 23 Mei 2015: Seramai 7 orang ahli Usrah Joran telah dihantar untuk merintis jalan bagi menduga lubuk-lubuk di perairan Kuala Rompin Pahang.
Perjalanan dari Kuala Lumpur memakan masa sekitar empat jam. Ahli-ahli usrah berkumpul di Seremban dan bertolak dari Petronas Bukit Putus sekitar jam 12 tengah malam. Konvoi sampai di Masjid Besar Kuala Rompin sekitar jam 4.30 pagi dan bersiap sedia menunaikan solat subuh berjemaah.
Seusai solat Subuh, mandi dan makan pagi di gerai Kuala Rompin, konvoi terus bertolak ke Jeti Persatuan Memancing Malaysia (PeMM) Kuala Rompin dan di sambut mesra tekong Adik. Setelah mengangkat segala 'senjata' untuk bertarung, maka bermulalah pelayaran kami untuk menjejak lubuk ke lubuk. Menaiki bot berenjin Honda 260 kuasa kuda, samudera Kuala Rompin dibelah dengan laju sekali.
Tiba di lubuk ebek, kami dapati beberapa bot sudah berlabuh. Dapat kami saksikan ebek demi ebek dinaikan. Maka berkobar-kobarlah jiwa kami sebagai isyarat tidak sabar lagi untuk berjihad. Umpan udang hidup dijadikan modal. Satu demi satu joran dilabuhkan oleh ahli usrah. Teknik yang kami gunakan ialah pancingan 'bottom'. Agak cuak juga apabila bot-bot sebelah semuanya menggunakan teknik pancingan 'lite jigging' dan berjaya menaikkan beberapa ekor ebek.Namun kegusaran kami terubat apabila teknik pancingan bottom menampakkan kesan positif. Kekili Kesh berderau menangis disentap ebek. Hampir tiga minit bertarung namun rezeki sudah tercatat. Putus! Nampak begitu hampa pada riak wajah Kesh. Tak apa. Cuba lagi.
|
Yus dengan tangkapan Ebek pertama seberat 4.5kg |
Selang dua minit, kekili Yus pula menjerit kuat. Jorannya melentur liuk. Tak pernah disaksikan begitu hebat penangan tarikan sebegini. Yus mencapai dengan agak gelabah dan mengarau dengan penuh pengharapan. Serentak dengan itu, kekili Napi pula meraung. Wah!!! Ebek sudah menyerang! Lebih kurang lima minit bertarung, akhirnya Yus dan Napi berjaya menaikkan ebek dan terlepaslah sumpahan kumpau pada hari tersebut.
|
Senyuman manis Napi menggambarkan kepuasannya dengan Ebek 4 kg |
Kreeeekkkk!!!! Sekali lagi kekili Kesh merintih agar dikasihani. Kesh terus menggapainya dan berjuang dengan penuh berhati-hati. Larian kali ini sungguh kuat. Tali pada kekili membuak keluar. 'Ahhh...tali dah nak abis!,' teriak Kesh. Sambil ditenangkan oleh tekong dengan tips karauan 'mesra', akhirnya ebek menyerah kalah. Peluh jantan Kesh bercucuran keluar. Suaranya bergetar apabila berbicara. Sekali-sekala tenggelam-timbul nadanya. Mungkin terlalu berdebar. Bimbang tewas kali kedua.
|
Kesh dengan Ebek terberat iaitu 4.8 kg. hasil cubaan keduanya |
No comments:
Post a Comment