Sunday, 9 February 2014

RAJA SIPUT AIR TAWAR





Sudah hampir 20 tahun tidak makan gondang! Tiba-tiba sahaja teringat untuk merasai keenakkannya. Kalau dahulu, ianya menjadi sajian biasa masyarakat kampung di Tanah Merah. Namun sekarang, bagi perantau, ianya sudah bertukar status sebagai makanan eksotik. 

Gondang ialah spesis siput air tawar terbesar. Ianya mudah didapati disesetengah sungai, tandak, dan tali air di negeri Kelantan. Habitatnya yang hidup di air jernih dan tenang memudahkan penggemar untuk mencarinya. Ada petua yang mengatakan, sekiranya hendak mudah menangkap siput ini, ianya mesti dahulu memasang umpan daun betik atau daun ubi kayu. Siput ini akan terangsang dan datang memakan daun-daun tersebut.

Hasil tangkapan santai-santai


'Perisai' mulut gondang mesti dikopak terlebih dahulu untuk mengeluarkan isi dalam.
Kemudian, selepas isi dikeluarkan daripada cengkerang, ianya dipotong kecil 
sebelum digoreng. Rasanya sungguh enak.


Saiznya yang besar sehingga hampir menyamai saiz tapak tangan
melayakkannya digelar 'Raja Siput Air Tawar'



MEMUKAT DI SUNGAI KAJANG



Cuaca sejuk melampau (19 darjah celcius) bagi kebanyakan tempat di negeri Cik Siti Wan Kembang tidak menghalang aktiviti memukat dijalankan. Keberangkatan pulang ke negeri tumpah darah pada cuti Tahun Baru Cina 2014 baru-baru ini menghadiahkan rezeki yang teramat berharga. Ikan-ikan sesegar ini sudah lama tidak diratah panas. Lebih mengujakan apabila sudah lama tidak merasai ikan tapah bemban (dipanggil laih bagi sesetengah tempat ). Beberapa spesis ikan lain berjaya dipukat termasuklah terebo dan 'chik din'.

 Dua besen berjaya dipukat. Ini fenomena luar biasa 
setelah zaman kepupusan ikan darat di Sungai Kajang Kelantan


 Kemunculan semula berduyun-duyun ikan tapah bemban a.k.a lais
ini menandakan kesedaran sivik orang kampung untuk tidak menuba  
dan mengebom ikan semakin tinggi.




 Ikan lais mendominasi tangkapan di musim sejuk kali ini. Kalau di Kemboja,
masyarakat di sana menggelarkan ikan ini sebagai ikan kaih!




 Proses menyiang ikan memakan masa yang lama kerana saiz yang bukan bagak.
Pun begitu, ianya begitu menyeronokkan tatkala sudah hampir satu dekat ikan sebanyak
ini tidak muncul dalam sejarah tangkapan.



Inilah yang disebut sebagai ikan Chik Din! Sirip, ekor dan pipinya ada kombinasi
 warna merah, hitam dan kuning emas.


Thursday, 9 January 2014

KAJIAN TONGSAN OLEH SAHABAT R&D USRAH JORAN

Pelbagai usaha dilakukan oleh para pemancing untuk cuba memerangkap tongsan yang dikenali sebagai ikan yang besar tetapi sedikit berbau hanyir. Bagi Syeikh Asrul (R&D Usrah Joran), research terkininya berjaya menaikkan tongsan yang ada di antaranya hampir 5 kilogram. 




Antara teknik daripada beberapa teknik umpan yang diuji.




 Spesis yang mempunyai mulut luas ini amat sensitif dengan teknik yang diuji



Antara tongsan yang berjaya dinaikkan dalam kajian teknik pancingan tersebut



Monday, 6 January 2014

MENJORAN DI KELONG GOLD COAST

Pantai Gold Coast yang mendamaikan 


Penutup Joran 2013: Trip ke Gold Coast Sepang memang meninggalkan kenangan manis bagi setiap pemancing. Panorama yang indah dan udaranya yang nyaman amat mendamaikan. Tidak hairanlah ramai yang merancang untuk trip memancing ke sini.

Seusai Solat Asar berjemaah di surau jeti, kami bergegas memunggah kelengkapan ke dalam bot yang di sewa khas. Segala peralatan memancing dan keperluan selama berkampung di kelong nanti dipastikan mencukupi dan tiada yang tertinggal. 

 Perjalanan dengan bot laju ini mengambil masa sepuluh 
minit untuk sampai ke lokasi




 Dr. Haji Hamidon yang bertekad menjadi pemancing tegar selepas ini.
 Misi pertama memancing setelah menamatkan PhD.


 Perjalanan menaiki bot ke kelong tidaklah jauh sangat. Hanya mengambil masa 10 minit sahaja! Ianya tidaklah memenatkan dan amat sesuai untuk aktiviti memancing sambil bersantai.
 
Kelong yang diperkukuhkan dengan pasak-pasak batang nibong.

 
Sesampai di kelong, sudah ada satu 'group' yang memancing. Mereka telah daratkan talang dan siakap. Mendengarkan hasil tangkapan yang memuaskan, semangat untuk memancing terus berkobar-kobar. Talang memang sentiasa menjadi penghuni tetap di mana-mana kelong pun. Namun kehadiran siakap amat mengujakan!.



Suasana di atas kelong. Pelantarnya yang luas
 memang menyelesakan pemancing
 

Kelong ini tidaklah besar sangat. Namun ianya cukup untuk menampung 30 pemancing pada satu-satu masa. Kelengkapan yang disediakan seperti 6 bilik tidur, dapur memasak, tandas, bekalan air bersih dan 'generator' untuk menghidupkan lampu pada waktu malam sudah memcukupi untuk aktiviti memancing. Solat boleh dilakukan secara berjemaah di dalam bilik masing-masing atau di ruang pelantar yang luas berbumbungkan langit.

Bagi yang jenis perut sensitif, rasanya tandas di sini tidak sesuai untuk 'air besar'. Air bersih yang dibekalkan cukup untuk memasak, berwudhuk dan bersuci hadas kecil. Adapun untuk mandi ataupun hadas besar, maka bukan di sini tempatnya. Tapi kalau 'dhoruroh' sangat bolehlah cuba. Sabun mandi yang kami beli hanya untuk pameran semata-mata.

Pemandangan mengadap Gold Coast


Salah satu ruang bilik daripada enam kesemuanya
 yang terdapat di atas kelong ini


Kami mula labuhkan umpan sekitar jam 5.30 petang. Seperti kebiasaan, tiada ikan bersaiz bagak yang menyambar umpan. Hanya ikan bersaiz 'penghibur' yang aktif meligan umpan. Mata 'apollo'  paling berjaya menghiburkan hati. 'Gruk-gruk' dan gelama paling suka menjamah udang dan sotong yang dihidangkan. Sesekali spesis todak yang pernah menyerang Temasik suatu ketika dahulu didaratkan oleh teman-teman pemancing. Namun yang pasti, suasana petang itu amat mendamaikan! Hati begitu tenang setenang air di lautan.

 Ameer; pemancing yang bakal menjadi al-Hafiz dua tahun lagi


Pancingan siang yang begitu tenang


Ustaz Azis dengan tangkapan ikan eksotiknya


 Sekali pandang macam ikan belacak, tapi ini bukan belacak. 
Mungkin kacukan belacak dengan kerapu


Keunikan ikan eksotik yang berjaya meligan umpan

Bila Maghrib menjelma, kami berhenti seketika untuk mencari keredhaan Allah.Air bersih yang dibekalkan pemilik kelong digunakan sebaik mungkin untuk berwudhuk. Baru sekarang terasa nikmatnya air! Patutlah Islam suruh kita menghargai air. Berjimatlah dengan air walaupun berwudhuk di sungai yang menglir.


Selesai berjemaah Maghrib, wudhuk dijaga rapi. Kami mengambil keputusan menanti Isya baru memulakan pancingan semula.Di kejauhan, berkelip lampu-lampu malam di Gold Coast. Cuaca malam itu sungguh baik. Tiada hujan walau setitik meskipun ini musim tengkujuh. Malam ini memang rezeki kami untuk berteduh di langit Allah yang cerah berbintang. Walaupun tiada bunyi cengkerik seperti di daratan, namun angin bayu malam yang sesekali menghembus membuatkan setiap diri insaf dengan nikmat kedamaian yang dianugerahkan Ilahi. 

 
Sebelum memulakan 'operasi' malam, kami pastikan hak perut diberikan sebaiknya. Bimbang juga nantinya meragam masuk angin tengah-tengah laut ni susah untuk ke daratan. Setelah usai semuanya, kami pakat-pakat labuhkan joran. Nampaknya senangin, siakap, alu-alu, tambak, kerapu bagak dan talang masih gagal melaporkan diri. Yang mesra hanyalah gelama. Keadaan ini membuatkan Dr. Hamidon dan Ameer tidak mampu menongkah kelopak mata yang semakin memberat. Mereka sepakat melabuhkan badan dalam bilik yang tiada beralas tilam. Ustaz Azis pula terliur dengan dengkuran mereka lalu sunnah diikuti. Lenalah mereka bersama bayu malam.

 
Ikan daun baru; pengubat di kesunyian malam


Rupa-rupanya semakin malam semakin mengganas ikan di sini. Seekor ikan daun baru  berjaya dinaikkan. Teman-teman lain juga berjaya dengan tangkapan masing-masing. Namun bila arus berubah arah menandakan air mula pasang, tiada lagi ikan bersaiz bagak menyentuh umpan. Hanya gelama dan bulan sahaja masih setia dengan hidangan umpan yang ditawarkan. 

Arus malam di sini tidaklah sederas seperti ketika memancing di Rumah Api One Fathom Bank (OFB) suatu ketika dahulu. Arus di OFB deras seperti di Jeram Lepan Bola. Batu ladung bersaiz sebesar ibu jari kaki pun belum tentu dapat berlabuh tenang. Mungkin lokasinya di tengah-tengah Selat Melaka bersempadan dengan Indonesia menjadikan lautnya sedikit dalam dan arusnya deras bangat.

Malam semakin menua. Dingin angin laut semakin terasa. Sudah hampir subuh rupanya. Gold Coast hampir bergelap semuanya. Tiada cahaya berkelip galak seperti selepas senja berlabuh semalam. Seluruh Gold Coast seakan lena diulit dingin pagi. Bangunlah Gold Coast! Penuhi masjid-masjid dan surau-surau mu. Mulakan harimu dengan menyembah Allah. Moga keberkatan akan sentiasa memayungimu. Ameen.
   
Selesai solat Subuh, sesi terakhir pancingan dimulakan sebelum berangkat pulang. Pagi itu hanya todak yang memecah rekod kilogram. "Todak pun todak lah!", ujar Ustaz Azis yang aktif mencuba pelbagai teknik pancingan sehingga di gelar Pemburu Todak Dari Labu. 


            Sempat bergambar kenangan sebelum pulang


Tepat jam 10.30 pagi, kami berkemas untuk pulang. Walaupun hasil tangkapan tidaklah seberapa, namun erti ukhuwwah yang dijalin sesama grup 'Usrah Joran' diharap utuh membara. InsyaAllah, Ustaz Azis akan 'arrange' ke Kelong Langkat pula. InsyaAllah.



Alhamdulillah....antara hasil tangkapan untuk kali ini. 





Thursday, 2 January 2014

MUQADIMMAH UDANG ENDAU ROMPIN DI SENTUL

'Sepit Biru' Sentul: Muqadimmah yang diharapkan
ada keberkatannya. Ameen

Sebagai persiapan trip ke Endau Rompin, hampir separuh ahli Usrah Joran telah mula menjinakkan diri dengan teknik pancingan 'Sepit Biru'. Walaupun pada mulanya agak sukar, namun para ahli yakin akan menguasai teknik pancingan udang tersebut dengan beberapa sesi usrah lagi.


Antara udang galah yang berjaya dinaikkan. Walaupun bukan bersaiz bagak,
namun merasai lariannya sudah cukup memberikan motivasi kepada
pemancing udang amatur seperti kami.



Antara 'lesen' terawal yang diperolehi



Kegembiraan jelas terpancar walaupun tangkapan mungkin bukan
saiz sebenar seperti yang terdapat di Endau-Rompin nanti



Antara hasil 'training' oleh salah seorang ahli Usrah Joran.
Memang kena berlatih lagi!


Tempat yang dipilih sebagai 'training ground' kali ini ini adalah di Sentul. Alasannya, tempat tersebut dilengakapi dengan surau yang memudahkan para ahli solat berjemaah semasa sesi usrah  luaran tersebut. Walau sibuk mana pun melayan hobi, namun tanggungjawab sebagai khalifah Allah S.W.T tetap diteruskan. Tarbiyyah para ahli mesti sentiasa mantap kerana Islam amat memerlukan hamba Allah yang berjiwa muttaqin! Bravo grup Usrah Joran!   

Wednesday, 1 January 2014

MENGIDAM GULAI 'EXOTIC' KELAH MASAK SAMBAL PIJAT

Lata Lepan Bola yang begitu mendamaikan. Airnya yang jernih
memang sesuai untuk 'Sang Raja Sungai'

Kunjungan ke Lata Lepan Bola bersama famili memang tidak mengecewakan. Di situlah terletaknya kolam memelihara 'Raja Sungai' kelah. Tiga buah kolam perntenakan kelah dengan menggunakan air jeram iaitu air habitat asal kelah menjadikan pembiakannya amat sukses. Spesis kelah merah yang purata seberat satu kilogram setiap seekor memang mengiurkan penggemar kelah. Namun ianya bukan untuk di makan! Ianya dieksport memandangkan harganya boleh mencecah ratusan ringgit setiap sekilogram!

Abe Mat; nama manja pemilik kolam memang pemurah. Melihatkan kami anak-beranak datang bertandang ke rumahnya  ala Melayu tradisional Pahang yang dibina betul-betul di tepi jeram, beliau mempelawa kami menjaring kelah untuk hidangan tengahari. Subhanallah......Syukrulillah....Pucuk dicita ulam mendatang! Kurniaan Allah memang terkadangnya tidak diduga.

Sekali tarik sahaja sudah hampir sepuluh ekor 'raja sungai' bersisik merah tewas di jaring. "Nak lagi ke?," tanya Abe Mat ikhlas. "Cukup Abe Mat, ni banyak sangat dah ni. Nanti tak habis," balasku malu-malu kucing. Mana tidaknya, ikan ini susah nak dapat. Disebabkan harganya mahal aku membenteng kehendakku. Biarlah Abe Mat jual yang lain-lain tu. Lagipun aku memang tahu. Ikan ini memang susah nak bela. Tak ramai usahawan bumiputera berjaya menternak ikan kelah ini.

Kelah yang siap disiang sedia untuk dimasak

 "Bawa balik ikan ni. Masak gulai sambal pijat pun sedap," Abe Mat melontarkan cadangan. Wah, hampir meleleh air liur mendengarkan resepi yang disebutkan Abe Mat tadi! Sudah lama tidak menjamah resepi turun temurun tersebut.


Kelah masak sambal pijat. Hanya air tangan bonda yang
mampu memasak sesedap ini!


Resepi gulai sambal pijat adalah menu masakan tradisional masyarakat Kelantan pedalaman. Ikan yang sudah disiang dimasak bersama cabai burung, asam keping, kunyit dan dicampur dengan isi pokok pijat.


Pokok pijat yang baru dicabut dari habitatnya
 

 Pokok pijat adalah spesis kunyit yang banyak meliar di hutan-hutan tropika negeri Kelantan. Baunya seperti pepijat menyebabkan masyarakat dahulu menamakannya pokok pijat. Pertama kali nak mencuba memang menjengkelkan. Mana tidaknya. Baunya seperti pepijat! Namun setelah mencuba ianya menjadikan anda sentiasa merinduinya. 

Bahagian akar inilah yang ditumbuk separa hancur sebagai ramuan 
utama gulai sambal pijat


Terkadang hidup di kota metropolitan ini amat meresahkan. Sesekali teringat masakan bonda pasti menenangkan. Akan tetapi janganlah balik kampung hanya nak makan. Apa yang penting, betulkan niat, pulang untuk menziarahi ayahanda dan bonda tercinta; yang tidak terhitung jasanya kepada kita. Buatlah yang terbaik sementara mereka masih ada. Tanpa didikan mereka siapalah kita."Sesungguhnya syurga di bawah tapak kaki ibu."