USRAH JORAN
Sunday, 6 March 2016
REHLAH TARBAWI KENYIR: SELIT JUGA MENJORAN
AJK Pemuda Masjid Kota Damansara (MKD) telah menganjurkan Rehlah Tarbawi di Tasik Kenyir pada akhir Februari 2016 lalu. Tujuan rehlah ini adalah untuk memantapkan AJK Pemuda MKD seterusnya menjadi penggerak utama kepada pemuda kariah Kota Damansara secara keseluruhannya. Walaupun di buat di syurga memancing, namun tujuan utamanya adalah untuk aktiviti 'team work' dan sememangnya padat dengan aktiviti wajib seperti solat berjemaah, latihan dalam kumpulan dalam menafsirkan Surah AsSoff dan aktiviti-aktiviti team building. Cuma di sebelah malamnya tatkala ramai pemuda telah beradu dek kepadatan program, ada beberapa pemuda kaki joram menduga dasar syurga pemancing tersebut. Disebabkan tempat bot berlabuh bukan lubuk ikan kerana uanya dikhaskan untuk kawasan team building, maka pendaratan ikan amatlah sedikit. Hanya spesis baung sahaja yang cuba menghiburkan harapan malam tersebut.
Tuesday, 26 May 2015
BELITONG VS SOTONG DI KUALA BESUT
Perairan Pulau Perhentian menjadi target kami mencandat dan menjoran kali ini |
KUALA BESUT, 18 Mei 2014: Ahli-ahli usrah sekali lagi berkonvoi ke Kuala Besut dengan misi menjoran belitong dan mencandat sotong. Trip kali ini menggunakan khidmat tekong terspoting Kuala Besut iaitu Abey Senbok.
Perjalanan kami dari Kuala Lumpur bermula jam 9.30 malam. Alhamdulillah kami selamat sampai di Kuala Besut sebelum subuh. Sesudah solat, kami menikmati juadah pagi di kedai makan Abey Senbok sambil berbual mesra merancang aktiviti trip kami kali ini.
Membuat persiapan terakhir sebelum sampai di lubuk belitong |
Walaupun kelajuan bot ini tidak setanding bot-bot pancing Kuala Rompin, namun kemudahan di atasnya bertaraf superb. Terdapat tandas yang dibuat khas untuk trip kali ini disamping dapur untuk memasak dan ruang rehat yang selesa untuk berbaring dan solat.
Ruang dapur yang selesa walaupun kecil |
Sesampai di lubuk belitong, kami dapat saksikan belitong mula berenang megah mengelilingi bot mengisyaratkan kami untuk bertarung. Berumpankan anak ikan kembong segar yang diappolokan sebelum itu, satu persatu mata kail tiada berladung di labuhkan. Nah! Satu persatu juga sentapan demi sentapan berlaku. Spesis layaran ini memang ganas. Aksi menari di atas air persis bill fish atau layaran semasa bertarung membuatkan kami begitu teruja. Seekor demi seekor dapat ditewaskan. Tidak kurang juga banyak yang terlepas dek kerana ganasnya pertarungan tersebut!
Antara belitong yang berjaya didaratkan |
Meniti senja, belitong semakin menjauhkan diri. Sementara menunggu masa sesuai untuk mencandat, kami mendahului dengan tanggungjawab hamba terhadap Tuhannya. Solat jamak taqdim Maghrib Isya di atas alunan ombak Laut China Selatan.
Apabila tekong memasang lampu candat, maka kami segera melabuhkan candat masing-masing. Maha Suci Allah. Sotong di sini bersaiz bagak rupanya. Pengalaman ini sungguh menyeronokkan.
Kesh dengan sotong bersaiz bagak |
'Double strike' oleh Yus |
Hampir semalaman kami mencandat. Dengan arus yang agak deras dan alunan ombak yang agak tinggi, ada dikalangan ahli usrah yang syahid apabila perut turut bergelora sambil diiringi suara meneran yang mengeluarkan segala buah tembikai yang dijamah dalam perjalanan tadi.
Saiz sebegini sangat biasa di sini |
Sesungguhnya trip kali ini amat mencabar dan menyeronokkan. Objektif tercapai. Belitong berjaya dijorankan. Sotong berjaya dicandatkan. Alhamdulillah.
Monday, 25 May 2015
EBEK MENGGANAS DI KUALA ROMPIN
KUALA ROMPIN, 23 Mei 2015: Seramai 7 orang ahli Usrah Joran telah dihantar untuk merintis jalan bagi menduga lubuk-lubuk di perairan Kuala Rompin Pahang.
Perjalanan dari Kuala Lumpur memakan masa sekitar empat jam. Ahli-ahli usrah berkumpul di Seremban dan bertolak dari Petronas Bukit Putus sekitar jam 12 tengah malam. Konvoi sampai di Masjid Besar Kuala Rompin sekitar jam 4.30 pagi dan bersiap sedia menunaikan solat subuh berjemaah.
Seusai solat Subuh, mandi dan makan pagi di gerai Kuala Rompin, konvoi terus bertolak ke Jeti Persatuan Memancing Malaysia (PeMM) Kuala Rompin dan di sambut mesra tekong Adik. Setelah mengangkat segala 'senjata' untuk bertarung, maka bermulalah pelayaran kami untuk menjejak lubuk ke lubuk. Menaiki bot berenjin Honda 260 kuasa kuda, samudera Kuala Rompin dibelah dengan laju sekali.
Tiba di lubuk ebek, kami dapati beberapa bot sudah berlabuh. Dapat kami saksikan ebek demi ebek dinaikan. Maka berkobar-kobarlah jiwa kami sebagai isyarat tidak sabar lagi untuk berjihad. Umpan udang hidup dijadikan modal. Satu demi satu joran dilabuhkan oleh ahli usrah. Teknik yang kami gunakan ialah pancingan 'bottom'. Agak cuak juga apabila bot-bot sebelah semuanya menggunakan teknik pancingan 'lite jigging' dan berjaya menaikkan beberapa ekor ebek.Namun kegusaran kami terubat apabila teknik pancingan bottom menampakkan kesan positif. Kekili Kesh berderau menangis disentap ebek. Hampir tiga minit bertarung namun rezeki sudah tercatat. Putus! Nampak begitu hampa pada riak wajah Kesh. Tak apa. Cuba lagi.
Selang dua minit, kekili Yus pula menjerit kuat. Jorannya melentur liuk. Tak pernah disaksikan begitu hebat penangan tarikan sebegini. Yus mencapai dengan agak gelabah dan mengarau dengan penuh pengharapan. Serentak dengan itu, kekili Napi pula meraung. Wah!!! Ebek sudah menyerang! Lebih kurang lima minit bertarung, akhirnya Yus dan Napi berjaya menaikkan ebek dan terlepaslah sumpahan kumpau pada hari tersebut.
Senyuman manis Napi menggambarkan kepuasannya dengan Ebek 4 kg |
Kreeeekkkk!!!! Sekali lagi kekili Kesh merintih agar dikasihani. Kesh terus menggapainya dan berjuang dengan penuh berhati-hati. Larian kali ini sungguh kuat. Tali pada kekili membuak keluar. 'Ahhh...tali dah nak abis!,' teriak Kesh. Sambil ditenangkan oleh tekong dengan tips karauan 'mesra', akhirnya ebek menyerah kalah. Peluh jantan Kesh bercucuran keluar. Suaranya bergetar apabila berbicara. Sekali-sekala tenggelam-timbul nadanya. Mungkin terlalu berdebar. Bimbang tewas kali kedua.
Kesh dengan Ebek terberat iaitu 4.8 kg. hasil cubaan keduanya |
Di lubuk pertama sahaja beberapa ekor ebek berjaya dinaikkan. Kami mula berpindah menyusuri lubuk ke lubuk. Beberapa spesis ikan berjaya didaratkan termasuklah bayan dan kerapu selain ebek yang menjadi penghuni setia perairan Kuala Rompin. Asrul, Rozani dan tekong turut tidak ketinggalan merasai larian ebek. Bagi Krull pula, walaupun perambutnya putus dek keganasan ebek sekitar 7 kg membaham umpan, namun kepuasan bertarung tetap terpahat di hati. Kesimpulannya, trip percubaan kali ini amat osem. InsyaAllah, trip sebenar akan menyusul tahun hadapan. Kuala Rompin: mu tunggu kami datang!
DERETAN KENANGAN
DERETAN KENANGAN
Bergambar sebelum berjihad |
Memang 'rare' ketupat palas di atas bot. Persis sambut Aidil fitri di lautan. |
Krull dengan gaya tersendiri |
Moga mendapat rezeki yang melimpah ruan di trip akan datang, ameen... |
Pose istimewa dari Cheif de Mission kali ini |
Trip yang mavelessss! |
Sunday, 9 February 2014
RAJA SIPUT AIR TAWAR
Sudah hampir 20 tahun tidak makan gondang! Tiba-tiba sahaja teringat untuk merasai keenakkannya. Kalau dahulu, ianya menjadi sajian biasa masyarakat kampung di Tanah Merah. Namun sekarang, bagi perantau, ianya sudah bertukar status sebagai makanan eksotik.
Gondang ialah spesis siput air tawar terbesar. Ianya mudah didapati disesetengah sungai, tandak, dan tali air di negeri Kelantan. Habitatnya yang hidup di air jernih dan tenang memudahkan penggemar untuk mencarinya. Ada petua yang mengatakan, sekiranya hendak mudah menangkap siput ini, ianya mesti dahulu memasang umpan daun betik atau daun ubi kayu. Siput ini akan terangsang dan datang memakan daun-daun tersebut.
Hasil tangkapan santai-santai
'Perisai' mulut gondang mesti dikopak terlebih dahulu untuk mengeluarkan isi dalam.
Kemudian, selepas isi dikeluarkan daripada cengkerang, ianya dipotong kecil
sebelum digoreng. Rasanya sungguh enak.
Saiznya yang besar sehingga hampir menyamai saiz tapak tangan
melayakkannya digelar 'Raja Siput Air Tawar'
MEMUKAT DI SUNGAI KAJANG
Cuaca sejuk melampau (19 darjah celcius) bagi kebanyakan tempat di negeri Cik Siti Wan Kembang tidak menghalang aktiviti memukat dijalankan. Keberangkatan pulang ke negeri tumpah darah pada cuti Tahun Baru Cina 2014 baru-baru ini menghadiahkan rezeki yang teramat berharga. Ikan-ikan sesegar ini sudah lama tidak diratah panas. Lebih mengujakan apabila sudah lama tidak merasai ikan tapah bemban (dipanggil laih bagi sesetengah tempat ). Beberapa spesis ikan lain berjaya dipukat termasuklah terebo dan 'chik din'.
Dua besen berjaya dipukat. Ini fenomena luar biasa
setelah zaman kepupusan ikan darat di Sungai Kajang Kelantan
Kemunculan semula berduyun-duyun ikan tapah bemban a.k.a lais
ini menandakan kesedaran sivik orang kampung untuk tidak menuba
dan mengebom ikan semakin tinggi.
Ikan lais mendominasi tangkapan di musim sejuk kali ini. Kalau di Kemboja,
masyarakat di sana menggelarkan ikan ini sebagai ikan kaih!
Proses menyiang ikan memakan masa yang lama kerana saiz yang bukan bagak.
Pun begitu, ianya begitu menyeronokkan tatkala sudah hampir satu dekat ikan sebanyak
ini tidak muncul dalam sejarah tangkapan.
Inilah yang disebut sebagai ikan Chik Din! Sirip, ekor dan pipinya ada kombinasi
warna merah, hitam dan kuning emas.
Thursday, 9 January 2014
KAJIAN TONGSAN OLEH SAHABAT R&D USRAH JORAN
Pelbagai usaha dilakukan oleh para pemancing untuk cuba memerangkap tongsan yang dikenali sebagai ikan yang besar tetapi sedikit berbau hanyir. Bagi Syeikh Asrul (R&D Usrah Joran), research terkininya berjaya menaikkan tongsan yang ada di antaranya hampir 5 kilogram.
Antara teknik daripada beberapa teknik umpan yang diuji.
Spesis yang mempunyai mulut luas ini amat sensitif dengan teknik yang diuji
Antara tongsan yang berjaya dinaikkan dalam kajian teknik pancingan tersebut
Monday, 6 January 2014
MENJORAN DI KELONG GOLD COAST
Pantai Gold Coast yang mendamaikan
Penutup Joran 2013: Trip ke Gold Coast Sepang memang meninggalkan kenangan manis bagi setiap pemancing. Panorama yang indah dan udaranya yang nyaman amat mendamaikan. Tidak hairanlah ramai yang merancang untuk trip memancing ke sini.
Seusai Solat Asar berjemaah di surau jeti, kami bergegas memunggah kelengkapan ke dalam bot yang di sewa khas. Segala peralatan memancing dan keperluan selama berkampung di kelong nanti dipastikan mencukupi dan tiada yang tertinggal.
Perjalanan dengan bot laju ini mengambil masa sepuluh
minit untuk sampai ke lokasi
Dr. Haji Hamidon yang bertekad menjadi pemancing tegar selepas ini.
Misi pertama memancing setelah menamatkan PhD.
Perjalanan menaiki bot ke kelong tidaklah jauh sangat. Hanya mengambil masa 10 minit sahaja! Ianya tidaklah memenatkan dan amat sesuai untuk aktiviti memancing sambil bersantai.
Kelong yang diperkukuhkan dengan pasak-pasak batang nibong.
Sesampai di kelong, sudah ada satu 'group' yang memancing. Mereka telah daratkan talang dan siakap. Mendengarkan hasil tangkapan yang memuaskan, semangat untuk memancing terus berkobar-kobar. Talang memang sentiasa menjadi penghuni tetap di mana-mana kelong pun. Namun kehadiran siakap amat mengujakan!.
Suasana di atas kelong. Pelantarnya yang luas
memang menyelesakan pemancing
Kelong ini tidaklah besar sangat. Namun ianya cukup untuk menampung 30 pemancing pada satu-satu masa. Kelengkapan yang disediakan seperti 6 bilik tidur, dapur memasak, tandas, bekalan air bersih dan 'generator' untuk menghidupkan lampu pada waktu malam sudah memcukupi untuk aktiviti memancing. Solat boleh dilakukan secara berjemaah di dalam bilik masing-masing atau di ruang pelantar yang luas berbumbungkan langit.
Bagi yang jenis perut sensitif, rasanya tandas di sini tidak sesuai untuk 'air besar'. Air bersih yang dibekalkan cukup untuk memasak, berwudhuk dan bersuci hadas kecil. Adapun untuk mandi ataupun hadas besar, maka bukan di sini tempatnya. Tapi kalau 'dhoruroh' sangat bolehlah cuba. Sabun mandi yang kami beli hanya untuk pameran semata-mata.
Pemandangan mengadap Gold Coast
Salah satu ruang bilik daripada enam kesemuanya
yang terdapat di atas kelong ini
Kami mula labuhkan umpan sekitar jam 5.30 petang. Seperti kebiasaan, tiada ikan bersaiz bagak yang menyambar umpan. Hanya ikan bersaiz 'penghibur' yang aktif meligan umpan. Mata 'apollo' paling berjaya menghiburkan hati. 'Gruk-gruk' dan gelama paling suka menjamah udang dan sotong yang dihidangkan. Sesekali spesis todak yang pernah menyerang Temasik suatu ketika dahulu didaratkan oleh teman-teman pemancing. Namun yang pasti, suasana petang itu amat mendamaikan! Hati begitu tenang setenang air di lautan.
Ameer; pemancing yang bakal menjadi al-Hafiz dua tahun lagi
Pancingan siang yang begitu tenang
Ustaz Azis dengan tangkapan ikan eksotiknya
Sekali pandang macam ikan belacak, tapi ini bukan belacak.
Mungkin kacukan belacak dengan kerapu
Keunikan ikan eksotik yang berjaya meligan umpan
Bila Maghrib menjelma, kami berhenti seketika untuk mencari keredhaan Allah.Air bersih yang dibekalkan pemilik kelong digunakan sebaik mungkin untuk berwudhuk. Baru sekarang terasa nikmatnya air! Patutlah Islam suruh kita menghargai air. Berjimatlah dengan air walaupun berwudhuk di sungai yang menglir.
Selesai berjemaah Maghrib, wudhuk dijaga rapi. Kami mengambil keputusan menanti Isya baru memulakan pancingan semula.Di kejauhan, berkelip lampu-lampu malam di Gold Coast. Cuaca malam itu sungguh baik. Tiada hujan walau setitik meskipun ini musim tengkujuh. Malam ini memang rezeki kami untuk berteduh di langit Allah yang cerah berbintang. Walaupun tiada bunyi cengkerik seperti di daratan, namun angin bayu malam yang sesekali menghembus membuatkan setiap diri insaf dengan nikmat kedamaian yang dianugerahkan Ilahi.
Sebelum memulakan 'operasi' malam, kami pastikan hak perut diberikan sebaiknya. Bimbang juga nantinya meragam masuk angin tengah-tengah laut ni susah untuk ke daratan. Setelah usai semuanya, kami pakat-pakat labuhkan joran. Nampaknya senangin, siakap, alu-alu, tambak, kerapu bagak dan talang masih gagal melaporkan diri. Yang mesra hanyalah gelama. Keadaan ini membuatkan Dr. Hamidon dan Ameer tidak mampu menongkah kelopak mata yang semakin memberat. Mereka sepakat melabuhkan badan dalam bilik yang tiada beralas tilam. Ustaz Azis pula terliur dengan dengkuran mereka lalu sunnah diikuti. Lenalah mereka bersama bayu malam.
Ikan daun baru; pengubat di kesunyian malam
Rupa-rupanya semakin malam semakin mengganas ikan di sini. Seekor ikan daun baru berjaya dinaikkan. Teman-teman lain juga berjaya dengan tangkapan masing-masing. Namun bila arus berubah arah menandakan air mula pasang, tiada lagi ikan bersaiz bagak menyentuh umpan. Hanya gelama dan bulan sahaja masih setia dengan hidangan umpan yang ditawarkan.
Arus malam di sini tidaklah sederas seperti ketika memancing di Rumah Api One Fathom Bank (OFB) suatu ketika dahulu. Arus di OFB deras seperti di Jeram Lepan Bola. Batu ladung bersaiz sebesar ibu jari kaki pun belum tentu dapat berlabuh tenang. Mungkin lokasinya di tengah-tengah Selat Melaka bersempadan dengan Indonesia menjadikan lautnya sedikit dalam dan arusnya deras bangat.
Malam semakin menua. Dingin angin laut semakin terasa. Sudah hampir subuh rupanya. Gold Coast hampir bergelap semuanya. Tiada cahaya berkelip galak seperti selepas senja berlabuh semalam. Seluruh Gold Coast seakan lena diulit dingin pagi. Bangunlah Gold Coast! Penuhi masjid-masjid dan surau-surau mu. Mulakan harimu dengan menyembah Allah. Moga keberkatan akan sentiasa memayungimu. Ameen.
Selesai solat Subuh, sesi terakhir pancingan dimulakan sebelum berangkat pulang. Pagi itu hanya todak yang memecah rekod kilogram. "Todak pun todak lah!", ujar Ustaz Azis yang aktif mencuba pelbagai teknik pancingan sehingga di gelar Pemburu Todak Dari Labu.
Sempat bergambar kenangan sebelum pulang
Tepat
jam 10.30 pagi, kami berkemas untuk pulang. Walaupun hasil tangkapan
tidaklah seberapa, namun erti ukhuwwah yang dijalin sesama grup 'Usrah
Joran' diharap utuh membara. InsyaAllah, Ustaz Azis akan 'arrange' ke
Kelong Langkat pula. InsyaAllah.
Alhamdulillah....antara hasil tangkapan untuk kali ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)